KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow berjaya menempah tiket ke pusingan suku akhir kejohanan Terbuka China di Shanghai.
Pilihan utama, Sivasangari menewaskan pemain Mesir, Malak Khafagy 11-7, 8-11, 11-8, 11-7 dalam tempoh 44 minit untuk bertemu seorang lagi wakil Mesir, Farida Mohamed di peringkat lapan terbaik. Dalam saingan lelaki, pilihan ketujuh Eain Yow menundukkan pemain Perancis, Melvil Scianimanico menerusi kemenangan straight set 11-7, 11-8, 11-7 sebelum berdepan ujian getir menentang pemain nombor satu dunia dari Mesir, Mostafa Asal.
Dalam perkembangan sama, Sivasangari yang kini menghuni ranking keempat dunia menyasarkan untuk menembusi kelompok tiga pemain terbaik dunia sebagai persiapan menjelang penampilan sulung sukan skuasy di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28). Selepas mengesahkan slot ke LA28 bersama Eain Yow susulan kejayaan meraih pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, pemain berusia 27 tahun itu menegaskan bahawa tahap konsistensi tinggi dalam 15 hingga 16 kejohanan semusim amat penting bagi merapatkan jurang dengan pemain elit dunia.

